Kedudukan Solat Berjemaah


Kedudukan Saf Secara Umum Bagi Lelaki Dan Wanita.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Solat berjamaah mengandungi dua orang lelaki, iaitu seorang imam dan seorang makmum. 

Apabila imam solat berjamaah hanya dengan seorang makmum, maka dia (makmum) disunnahkan berdiri di sebelah kanan imam (sejajar dengannya), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa “beliau pernah solat berjamaah bersama Rasulullah pada suatu malam dan berdiri di sebelah kirinya. Maka Rasulullah memegang kepala Ibnu Abbas dari belakang lalu memindahkannya ke sebelah kanannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam kitab Subulus Salam (oleh al-Imam ash-Shan’ani), Diriwayatkan bahawa Ibnu Juraij pernah bertanya kepada Atha’ (seorang tabi’in), “Seseorang yang menjadi ma’mum bagi seseorang yang lain, dimanakah ia (ma’mum) harus berdiri?” Jawab Atha’, “Di tepinya”. Ibnu Juraij bertanya lagi, “Apakah si Ma’mum itu harus dekat dengan Imam sehingga ia satu saf dengannya, iaitu tidak ada jarak antara keduanya (ma’mum dan imam)?” Jawab Atha’: “Ya!” Ibnu Juraij bertanya lagi, “Apakah si ma’mum tidak berdiri jauh sehingga tidak ada jarak antara mereka (ma’mum dan imam)? Jawab Atha’: “Ya”.

Demikian juga yang disebutkan di dalam al-Muwaththa’, Dari Umar dari hadis Ibnu Mas’oud. “Sesungguhnya ia berada satu shaf bersama Umar, lalu merapatkan safnya hingga bahu Umar bersentuhan di sisi kanannya.” Maka, kedudukan imam adalah di sebelah kiri makmum, dan makmum di sebelah kanan imam dalam keadaan satu barisan (satu saf) sebelah menyebelah.

Solat dengan dua orang makmum (atau lebih) bersama imam.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:
“… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau…” (Hadis Riwayat Muslim)
Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka. Jumhur ulama berpendapat, barangsiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit.
Solat seorang wanita bersama imam lelaki.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya. Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam Ibnu Abdil Barr rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa seorang wanita itu solat di belakang seorang lelaki dalam satu barisan. Yang disunnahkan adalah mengambil posisi tepat di belakang laki-laki, bukan di sebelah kanannya.”(al-Mughni, Ibnu Qudamah)
Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:
“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Gambar rajah :


No comments:

Post a Comment

Post a Comment